بِسْÙ…ِاللّÙ‡ِالرَّØْمنِالرَّØِيمِ
Kisah 1
“Ketika saya kecil, ibu dan ayah saya mendidik saya dalam suasana al-Qur’an
sehingga hati saya amat terkesan dengan ayat-ayat al-Qur'an. Terutama ayat-ayat
yang menganjurkan kita untuk menolak kezaliman dan pemerasan….Antaranya adalah
firman Allah dalam surah asy Syura ayat 39 yang bermaksud : "Dan
bagi orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim, mereka membela
diri." Ketika ibu saya meninggal dan hati saya dirundung kesedihan saya
sentiasa merenung surah al-Fajr, "Wahai
jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi
diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam kelompok hamba-hamba-Ku dan masuklah ke
dalam syurga Ku"
Inilah antara coretan yang ditemui dalam salah satu lembaran diari kecil hingga
kini tetap terpelihara. Di atas lembar-lembar diari itu, tertulis petikan
ayat-ayat al-Qur’an. Begitulah sepintas kenangan manis masa kecil milik Alija
Izzatbegovic. Sosok itu menghadapi badai permusuhan hebat yang menghempas
agama dan bangsanya di Bosnia
Herzegovina.
Inilah antara cebisan kisah peribadi-peribadi yang dibentuk oleh gema al-Qur’an
dalam jiwa mereka sejak kecil.
Gema al-Qur’an semasa mereka
kecil amat mempengaruhi kehidupan
dewasa kemudian hari……
Kisah 2
“Ayahku menyimpan cita-cita agar Allah memberinya rezeki seorang anak yang
mempunyai suara dan bacaan al-Qur'an yang indah. Ternyata, puteranya, tak
ditakdirkan memiliki suara yang merdu. Puteranya itu sekadar menjadi seorang
yang suka menyemak bacaan al-Qur'an. Ayahku sering mengundang para qurra' untuk
tilawah al-Qur'an di rumahku. Bermula dari detik itu, sedikit demi sedikit,
kesenangan dan rasa sukacita itu tumbuh subur dan memekar dalam jiwaku. Bila
terdengar al-Qur'an dibaca, aku yang masih kecil terdiam dan menyemaknya dengan
penuh perhatian. Berkembanglah keterpautan jiwaku dengan al-Qur'an. Dan kelak,
aku memang sekali lagi tak menjadi qari'ul Qur'an……”
Namun putera ini termasuk segelintir para tokoh pemikir Islam yang memiliki
saham besar dalam arus kebangkitan Islam di zaman kini. Sayyid Qutb nama
yang tidak asing dalam dunia Islam. Beliau bukan qari’ul Qur’an namun beliaulah
pengarang kitab Tafsir al-Qur’an – Fi Dzilalil Qur’an…….
Kunci
kemenangan
Al-Qur'an telah terbukti menjadi kunci kemenangan dan ‘izzah kaum muslimin. Suatu
ketika dahulu tatkala dalam dada umat tertanam kedekatan serta pemahaman yang
dalam terhadap al-Qur'an, mampu mengobarkan semangat seterusnya melahirkan
kekuatan sangat besar. Dalam siri-siri peperangan, banyak kisah sahabat yang berjaya meraih
kemenangan melalui bacaan al-Qur'an. Dalam perang Qadasiyah
contohnya, Umar ra memerintahkan Sa'ad bin Abi Waqash ra untuk membaca
dan memperdalam kandungan ayat dalam surat
al-Anfal di kalangan pasukannya. Lalu
terjadilah perubahan dahsyat dalam jiwa pasukan Islam.
Mereka bangkit setelah hampir tewas dan kehilangan semangat hingga mampu meraih
kemenangan. (Hayatu shahabah 4, hal 556).
Malah keistimewaan orang yang membaca dan mempelajari al-Qur'an diumpamakan
oleh Rasulullah, ibarat suata bejana yang penuh berisi minyak wangi yang baunya
selalu semerbak di mana-mana (Riwayat Ibnu Majah, Tirmidzi, Abu Daud). Peribadi
al-Qur’an bagai sebuah mercu obor yang memancarkan cahaya dan memberi terang di
malam gelap kepada umat manusia.
Maka tidak ada yang lebih baik kecuali berusaha mengenalkan
seseorang pada al-Qur'an sejak dini. Kisah Alija dan Sayyid
Quthb semasa kecil di atas, boleh dijadikan ibrah bahawa pendidikan al-Qur'an sejak kecil, sebagai
tonggak utama terbentuknya mental dan keperibadian anak yang sihat
dan diredhai Allah SWT. Dalam petikan kisah di atas juga ternyata menunjukkan
kesan yang lahir dari kedekatan seseorang dengan al-Qur'an. Alija yang terlatih
dengan ayat-ayat Allah contohnya sentiasa menghubungkan garis peristiwa
hidupnya dengan ungkapan-ungkapan al-Qur'an. Sayyid Quthb pula yang sejak
kecil memiliki rasa hormat yang demikian agung dalam hatinya kepada al-Quran,
sehiagga di akhir hayatnya, beliau dapat dengan tenang menyongsong syahadah di
tiang gantung demi membela aqidahnya.
Oleh itu sudah sewajarnya
seorang anak, sejak kecil diusahakan untuk memiliki ikatan-ikatan rohani
melalui gema al-Qur’an. Sehingga jiwanya memiliki
kejernihan, cahaya, keimanan dan keikhlasan. Menjadi tanggungjawab kedua ibu
bapa untuk membuka mata anak sejak kecil untuk mengetahui prinsip baik dan
buruk, masalah halal dan haram, benar dan salah, dosa dan pahala sebagaimana
yang ditetapkan oleh al-Qur’an. Rasulullah SAW bersabda:"Suruhlah
anak-anakmu mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya…"(Riwayat Ibnu
Jarir dan Ibnu al-Mundzir).
Ikatan rohani dalam jiwa anak
Pendidikan
al-Qur'an adalah salah satu ikatan rohani yang paling efektif untuk mendidik
jiwa seseorang. Rasulullah SAW bersabda: "Didiklah
anak-anakmu dalam tiga perkara: mencintai Nabimu, mencintai keluarganya dan
membaca al-Qur'an.
Sesungguhnya orang-orang yang membawa a!- Qur'an berada dalam naungan Arsy
Allah ketika tidak ada naungan kecuali naungan Nya, bersama para nabi dan
orang-orang suci." (Riwayat ath-Thabrani).
Para ulama terdahulu telah
menekankan kepentingan dan keutamaan pengajaran al-Qur'an agar dimulakan sejak
zaman kanak-kanak. Dalam Muqaddimah-nya, Ibun Khaldun mengisyaratkan
pentingnya mengajar dan menghafal al-Qur'an kepada anak-anak.
Menurut
beliau pengajaran al-Qur'an adalah dasar pengajaran dalam semua kurikulum
sekolah di berbagai negara Islam. Al-Qur’an merupakan semboyan agama yang
mengukuhkan akidah. Begitu juga Ibnu Sina, dalam kitabnya
"as-Siyasah", menekankan kaum muslimin seharusnya mempersiapkan
fizikal dan mental anak yang dimulakan dengan pengajaran al-Qur'an. Imam
al-Ghazali dalam Ihyanya pula mewasiatkan pengajaran al-Qur'an, hadis
dan cerita orang-orang soleh kepada anak-anak. Malah telah menjadi suatu
kebiasaan para orang tua menyerahkan anak-anak mereka kepada seorang syaikh
murabbi (pendidik) untuk diajar al-Qur'an. Sehingga roh mereka begitu tinggi,
hati mereka khusyuk, air mata mereka mudah berlinangan bila mengingati Allah. Inilah
kesan lantunan gema al-Qur’an, keimanan dan aqidah yang telah meresap ke dalam
jiwa.
"Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang tunduk
patuh (kepada Allah), (iaitu) orang-orang yang apabila disebut nama Allah
bergetarlah hati mereka." ( al-Hajj: 34-35).
Menumbuhkan Rasa Cinta pada al-Qur'an
“Tak kenal maka tak cinta.” “Dari mana datangnya cinta ? Dari mata
turun ke hati.”